Isnin, 3 September 2012

Ear Wax





Tajuknya sahaja sudah meloyakan. Disebabkan 'ear wax'lah Danish dimasukkan ke Hospital. Hampir lima enam bulan yang lepas Danish mengadu kepadaku "Mama, alo, alo...tak inga a"(Hello, hello..tak dengarlah), sambil menarik cuping telinganya. Ketika bercakap pula dia suka menjerit-jerit. Aku syak yang dia tak dengar disebabkan tahi telinga. Pelik juga kerana telinganya selalu dibersihkan. Apabila dibawa ke klinik Doktor memberikan ubat titis untuk mencairkan tahi telinga.  Aku pun mula menitiskan ubat tersebut beberapa kali dan sudah habis empat botol ubat titis tersebut namun ianya tidak berkesan. Selalu jugalah dia mengadu sakit telinga dan mengatakan yang telinganya bunyi bising seperti berdesing. Tak boleh jadi budak ni. Kena bawa ke Hospital juga. Aku dan suamiku membawanya  ke Selangor Specialist Hospital (SMC) untuk diberi rawatan segera.

Doktor Pakar ENT iaitu Dr V. Soni melakukan pemeriksaan ke dalam telinganya tetapi Danish menangis kerana ketakutan. Pemeriksaan pada hari itu gagal kerana Danish meronta-ronta untuk melepaskan dirinya dari diperiksa oleh Doktor tersebut. Doktor menasihatkan bahawa Danish terpaksa dipengsankan seketika untuk membuang tahi telinga dan dimasukkan ke Bilik Pembedahan(OT) pada keesokan harinya. Di dalam hati berkata " Nak buang tahi telinga pun kena masuk OT, dasyat Danish mengalahkan Mama yang pernah ke Bilik Bedah ketika melahirkanmu suatu ketika dulu". Sebelum 'kerja-kerja pembersihan' Danish kena puasa selama 6 jam dahulu. Jenuh jugalah nak melayan dia supaya dia tak ingat nak menyusu. Nasib baiklah Staff Nurse di sana pandai melayan Danish. Macam-macam diumpankan budak tu, Jam locenglah, mainanlah, pen dan kertaslah dan melayan berbual-bual sambil  tengok ipad.

Pada jam 10.30 pagi / 13hb Ogos 2012 Danish  dibawa ke dalam Bilik Pembedahan. Sebelum itu dia dibiuskan oleh Dr Suraiya Abd Samad(Pakar bius) supaya dia pengsan seketika. Hanya lebih kurang 10 minit 'kerja-kerja pembersihan' tersebut dilakukan. Bila habis ubat bius Danish menangis kerana mungkin dia berasa tak selesa disebabkan oleh ubat bius dan bekas jarum di tangannya. Aku bertanya kepada Dr Soni bagaimana cara untuk membersihkan/membuang tahi telinga anak-anak.  Dr Soni menasihatkanku cara yang selamat untuk membersihkan telinga kepada anak-anak mahupun orang dewasa adalah dengan menggunakan minyak zaitun. Titiskan minyak zaitun seminggu atau 2 minggu sekali supaya tahi telinga yang keras/lembut akan menjadi cair dan akan keluar dengan sendirinya. Kemudian kita boleh bersihkannya dengan menggunakan putik kapas. Jangan sesekali mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas kerana makin kerap kita mengorek telinga, semakin padat tahi telinga (ear wax) akan masuk ke dalam rongga telinga. Ini akan mengakibatkan ear wax menjadi keras dan dikhuatiri akan tersentuh dengan gegendang telinga. 


Kepada pembaca-pembaca blog ini jangan ambil mudah dengan 'ear wax'. Selain memudaratkan ia juga memerlukan kos yang tinggi untuk mengeluarkannya. Aku terkedu seketika apabila melihat bil perubatan Danish. Kos 'Pembersihan Tahi Telinga' berjumlah RM3,000. Pitam Mama..

3 ulasan:

kamarilham berkata...

Assalam, cuba gunakan kaedah org tua-tua dulu, titikkan sedikit minyak zaitun ke dalam telinga untuk melembutkan tahi telinga yg dah keras,kemudian bersihkan.Selamat mencuba

buttercupDEWi berkata...

Minyak zaitun yg original tu ka

Unknown berkata...

Yang original lagi bagus. Saya hanya gunakan yang jenama Safi sahaja.