Isnin, 16 Julai 2012

Abah


Tanggal 21hb Mei 2010 abah kemalangan ketika balik dari sembahyang di Masjid Bukit Kangkar. Ketika itu abah menaiki motor dan hendak melintas jalanraya untuk balik ke rumah. Malangnya kereta dari arah belakang begitu laju lalu melanggar abah, abah tercampak ke tepi jalan. Abah mengalami luka-luka kecil dan motornya tidak boleh digunakan lagi. Kereta orang yang melanggar abah itu pula remuk. Walaupun kereta dan motor remuk tetapi abah tiada apa-apa. Umur abah masih panjang lagi. 

Sebulan selepas kejadian tersebut abah mengadu lemah untuk berjalan. Bermacam-macam ubat abah dah makan namun kesakitan masih terasa. Badan abah pula semakin kurus kerana dia tidak lalu makan dan mengharapkan kerusi roda untuk bergerak. Kami adik beradik bersepakat untuk menghantar abah ke Hospital Serdang untuk rawatan selanjutnya. Lebih kurang sebulan abah terpaksa berkampung di hospital bersama emak kerana doktor-doktor pakar masih tidak berjaya mencari punca sebenar penyakit abah. Doktor memberikan andaian bahawa punca abah tidak boleh berjalan adalah disebabkan oleh serpihan kaca masih berada di dalam kepala abah. Doktor telah membuat scan di kepala abah namun andaian tersebut tidak benar sama sekali. Sehinggalah seorang Doktor Pakar (Senior) membuat rawatan ke atas abah dan abah diarahkan untuk dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada hari itu juga kerana menurut kata Doktor Pakar tersebut, pendarahan di kepala abah adalah serius dan perlu mengeluarkan darah beku secepat mungkin. Jika dilihat daripada fizikal dan keadaan abah yang terlalu lemah, kami adik beradik pasrah jika sebarang kemungkinan berlaku.

Di Hospital Besar Kuala Lumpur abah dibedah dan kepalanya ditebuk bagi mengeluarkan darah beku. Alhamdulillah pembedahan tersebut selamat dan berjaya. Kini sudah 2 tahun ianya berlalu dan kami amat bersyukur kerana kesihatan abah semakin hari semakin baik. Memang benarlah kata pepatah Melayu, berpantang maut sebelum ajal.


Abah masih sihat dan cergas melayan cucunya walaupun umurnya sudah 80 tahun pada ketika ini. Video ini diambil pada bulan Jun 2012.

1 ulasan:

kamarilham berkata...

Haah, Abah kini dah kuat, dah boleh main bola sepak dengan cucunya